Peperiksaan UPSR semakin hampir. Pasti pelajar Tahun 6 merasakan debaran menghadapi minggu akhir sebelum bermulanya peperiksaan. Tentunya semua pelajar inginkan kejayaan yang cemerlang dengan mendapat keputusan yang diimpikan iaitu 5A kan?
>> Hari ini cikgu dapat lihat wajah-wajah 'stress' pelajar Tahun 6 selepas menghadapi gerak gempur. Ada kerisauan pada wajah mereka. Sudah berusaha, berdoa kepada Allah dan serahkan segala-galanya (tawakkal). Pepatah Arab ada mengatakan "MAN JADDA WA JADDA" yang bermaksud sesiapa yang berusaha akan berhasil, sesiapa yang menanam akan menuai.
Hari ini cikgu ingin kongsikan tips menghadapi peperiksaan.
1. Persediaan Fizikal
Anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan. Sekiranya masih banyak yang anda perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:
2. Tidur Yang Cukup
Tidur yang cukup ialah di antara 6 – 7 jam sehari. Kurang tidur akan menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Justeru pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini bermula dari sekarang.
3. Jaga Pemakanan
Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya “Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan” (Al-Baqarah : 57). Yang dimaksudkan sebagai yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.
4. Riadah
Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Di saat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yanganda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.
5. Keselamatan
Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan. Elakkan diri dari sebarang kecederaan. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musim menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada dirumah.
Sumber asal : Blog Cikgu Fizi
P/S: Cikgu doakan semua pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR.
No comments:
Post a Comment